Mahasiswa Bersama Masyarakat

>> Monday, July 14, 2008


12 Julai 2008 merupakan tarikh hitam dalam diari kehidupan penduduk- penduduk perumahan setinggan Kerinchi. Lebih dari 15 buah keluarga di kawasan perumahan ini telah kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang berlaku lewat tengahari semalam. Lebih kurang jam 1 petang api telahpun marak dan menjilat hampir keseluruhan kawasan tersebut. Mangsa- mangsa kebakaran ditempatkan di Stadium Hoki, Lembah Pantai berdekatan dengan pintu gerbang Universiti Malaya.

Di fahamkan oleh Pak Abu- ketua kawasan perumahan tersebut punca kebakaran tidak diketahui. Namun, rata- rata mereka mengatakan ia berpunca dari rumah kosong yang berada di belakang rumah mereka. Salah seorang dari mangsa, Puan Ramlah mengatakan ketika kejadian tiada siapapun dirumah. Beliau yang menghidapi strok terpaksa bertungkus lumus menyelamatkan diri keluar dari api yang semakin marak.


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turun ke padang untuk memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran. Bantuan yang diberikan berbentuk wang tunai dan keperluan- keperluan harian seperti beras, gula dan lain- lain keperluan asas.
Kira- kira jam 11.45 pagi, Ahli Dewan Rakyat Lembah Pantai YB Nurul Izzah tiba di perkarangan Stadium Hoki untuk melawat dan memberi semangat dan motivasi kepada mangsa. Walaupun sibuk dengan tugasnya beliau masih sempat turun ke padang untuk merasai kesusahan yang dialami oleh rakyat.



Tidak ketinggalan mahasiswa dan mahasiswi dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) terpanggil untuk berkongsi kesedihan dan juga memberi sedikit bantuan kepada mereka. Menurut YDP PMIUM, Mohd Haafizuddin b. Abirerah ”Mahasiswa seharusnya bersama- sama masyarakat tidak kira dalam apa juga keadaan. Kita tidak hanya inginkan mahasiswa yang pandai dalam bidang pelajaran tetapi juga mampu memberikan sesuatu yang berguna bahkan lebih dari itu”



” Saya mengharapkan supaya mahasiswa- mahasiswa yang mempunyai masa lapang khususnya mahasiswa dari Universiti Malaya dapat hadir ke stadium dan bersama- sama berkongsi rasa dengan mangsa- mangsa kebakaran. Walaupun kita tidak dapat membantu dari segi kewangan tapi kita mungkin dapat bantu mereka dari segi emosi.” kata Nur Rabiatul Adawiah bt Mohd Noor, salah seorang dari mahasiswi yang menyertai lawatan ini.

Bersama- sama PMIUM, mahasiswa dari Ma’aruf Club, Universiti Islam Antarabangsa turut prihatin dan peka dengan kesusahan yang dihadapi oleh mangsa. Mereka beramai- ramai menaiki motor dari Gombak ke Lembah Pantai semata- mata ingin berbakti kepada mereka.

0 comments: